Tuesday, April 22, 2014

Ilmu Makrifat Mengenal Kawan dan Lawan (Tribute: Tuan Brado Kapak)




Petua Hendak Berjaya Dengan Mengenal Kawan.

Setiap perkara yang kita buat sering kali mendapat tentangan dan halangan. Biasanya akan ada mulut orang yang bercakap-cakap tentang kita. Di saat kita hendak mengorak langkah, mereka akan berkata, "boleh ke kau buat?", "betul ke cara kau ni?", "berbaloi ke?" atau "tak payah la, komfem tak menjadi punya" dan seumpamanya. Ini boleh kita kategorikan sebagai ayat orang malas. Malas mencuba, malas kehadapan, malas berubah dan juga tidak berani. Orang seperti ini harus kita berhati-hati kerana mereka sering mengambil kesempatan selepas kita berjaya kelak.

Kemudian tatkala kita sudah mula mengorak langkah kita satu demi satu, timbul persoalan lagi daripada mereka... "Kau tak penat ke?", "Kau tak nak stop ke? Risau tak menjadi je... baik rugi sekarang dari rugi kemudian", "Tak payah buat lah, nanti menyusahkan family kau" atau "Buang masa la kau buat ni" dan seumpamanya. Ini adalah kata-kata orang yang tidak mahu melihat kita berjaya. Orang seperti ini harus dijauhi kerana mereka ada potensi untuk menjatuhkan kita selepas mengecapi kejayaan kelak.

Setelah kita mengecapi kejayaan, maka pasti ramai pula yang akan datang mengambil kesempatan. Ada 2 jenis orang yang suka mengambil kesempatan ini.

Pertamanya, mereka yang suka mengambil kesempatan dengan cara menumpang kesenangan dengan kejayaan yang kita kecapi. Orang seperti ini ada baik dan buruknya pada kita. Baiknya adalah, kita boleh gunakan kepakaran yang dia ada bagi meraih keuntungan disamping kita memberi dia ruang untuk menumpang kejayaan yang kita kecapi. Sebagai contoh, kita sudah ada satu platform yang kuat untuk mempromosikan sesuatu barang, maka pasti akan ada orang yang berniaga produk seperti produk kesihatan, MLM dan lain-lain yang datang kepada kita untuk 'meminjam' platform kita. Kita beri sahaja pinjaman platform itu dan minta komisyen sebagai pulangan daripada dia. Win-win Situation. Maka, disitu kita untung, orang tersebut pun untung. Orang seperti ini harus didekati dan jangan dijauhi kerana kita boleh pergunakan dia semula sekiranya dia hendak mempergunakan kita.

Keduanya, mereka yang suka mengambil kesempatan dengan cara buruk seperti memburukkan kita, memfitnah kita, menggunakan nama kita untuk tujuan tidak baik, mengambil kesempatan dengan kesusahan kita, gembira dengan kesusahan kita, membuka aib kita dan banyak lagi. Orang seperti ini hanya mahu melihat kita jatuh terjunam dan merudum. Orang seperti ini bukan mahu membantu kita walaupun disatu sudut lain, mereka berpura-pura di depan kita seperti mahu membantu kita untuk lebih berjaya. Orang seperti ini biasanya hanya mahu melihat kita susah dan merana. Mereka akan gunakan kesempatan yang ada utk mempengaruhi semua orang yang dekat dgn kita atau mengenali kita bagi memecahbelahkan sesama kita. Orang seperti ini boleh dikategorikan sebagai orang yang Dengki dan Khianat. Mereka WAJIB dijauhi dan JANGAN dijadikan kawan.

Selain daripada semua yang tersenarai di atas, ada dua lagi kelompok orang yang sering hadir dalam hidup kita. Mereka ini adalah yang sering membantu kita dan memberi semangat kepada kita.

Kelompok pertamanya adalah orang yang sudah tahu potensi kejayaan kita daripada awal lagi. Mereka biasanya akan terus menyokong kita disamping mendorong dan juga memberikan bantuan baik dari segi moral, dana kewangan dan juga tenaga. Orang seperti ini biasanya ada dua niat. Pertamanya, mereka hendak melihat kita maju seperti mana mereka telah lama maju. Keduanya, mereka mahu melihat kita maju seperti mana mereka telah lama maju tetapi dalam masa yang sama, mereka mahu meraih sedikit keuntungan bersama dengan kita. Kedua-dua jenis ini tidak ada masalah dalam apa jua perkara yang hendak kita jalankan dan harus didekati. Namun, jenis yang kedua harus kita berhati-hati kerana ada potensi mereka hendak menjadi golongan yang menjatuhkan kita satu masa nanti.

Kelompok keduanya pula adalah orang yang tidak berapa tahu potensi kejayaan kita dan mereka tak tahu sangat apa yang kita buat. Namun, atas dasar keakraban, mereka tetap menyokong kita, membantu kita setakat yang mampu dan memberi dorongan moral kepada kita. Golongan seperti ini biasanya datang dari kalangan ahli keluarga sendiri, ibu bapa, sanak saudara, sahabat karib / member lama dan juga pasangan suami / isteri / tunang. Mereka ini WAJIB sentiasa kita dedaki kerana merekalah tempat kita meluahkan perasaan dikala kesusahan, merekalah tempat kita berkongsi cerita dikala kegembiraan dan kedukaan, merekalah tempat kita meminjam apa sahaja perkara dikala ada benda tidak cukup dan mereka jugalah tempat kita bergembira bersama nanti. WAJIB bagi kita berkongsi kesenangan, kejayaan dan juga membantu mereka jika ada antara mereka yang susah. Namun begitu, ada kala orang-orang yang berada dalam golongan ini punya hasad dengki dan iri hati terhadap kejayaan kita dan hal ini yang harus kita berhati-hati.

Alhamdulillah, telah saya kongsikan serba sedikit berkenaan cara-cara hendak mengenal kawan dalam mencari kejayaan dan kebahagiaan. Oleh itu, anda sendirilah yang harus bijak berfikir dan mengorak langkah sendiri di masa hadapan. Jangan sesekali takut untuk berubah dan mencuba sesuatu yang baru. Jangan sesekali takut untuk menghadapi kerugian. Kerana, setiap kejayaan yang besar telahpun diawali dengan kerugian yang besar atas sebab-sebab kurangnya pengalaman. Tidak ada kejayaan besar yang dibayar dengan harga yang murah!


Untuk itu, marilah sama-sama kita berubah satu langkah demi satu langkah lebih kehadapan untuk mencipta lebih banyak kejayaan, insyaALLAH. Buatlah sesuatu yang boleh menguntungkan semua pihak terutamanya agama kita, bangsa kita dan negara tanah air tercinta kita. Buatlah apa sahaja yang boleh keuntungan bagi seluruh masyarakat. Buatlah apa sahaja yang boleh mengharumkan nama baik kita, agama dan juga negara kita. Buatlah......... Jangan pernah putus asa! Apabila ada orang yang memburukkan kita dan menghina serta membuka aib kita dikala kita telah berjaya, ketahuilah sebenarnya kita telahpun berada selangkah dihadapan meninggalkan mereka.

Selamat Maju Jaya saya ucapkan kepada anda semua yang bakal berjaya satu masa nanti! Semoga, apa yang saya kongsikan di atas dapat menjadi pedoman buat anda semua untuk mengecapi kejayaan masing-masing. Amiin....

Sekian.

-bradokapak-
Penganalisa Berita Semasa.
Freelance Internet Marketer.

Petikan dari : http://dramaraja.blogspot.com/2014/04/ilmu-makrifat-mengenal-kawan.html
(Tribute: Tuan Brado Kapak)- BLOGGER Terkenal 

No comments:

Post a Comment