Assalamualaikum dan sejahtera serta keberkahan untuk Muslimin dan Muslimat di luar sana yang sedang menunaikan ibadah puasa sempena bulan yang dirahmati, bulan Ramadhan. Sesungguhnya, setiap umat Islam menyambut bulan Ramadhan dengan menunaikan ibadah tuntutan Syariat Allah iaitu berpuasa sepanjang bulan mulia ini.
Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan Islam yang ke-7, selepas bulan Syaaban, dan setelah berakhir menunaikan ibadah puasa, maka umat Islam mencapai kemerdekaan dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tarikh pertama Syawal, iaitu bulan selepasnya bulan Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan, Allah SWT telah menjanjikan pahala yang tinggi untuk amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang bulan yang mulia itu.
Selain dari berpuasa, umat Islam disunatkan pula untuk menunaikan Solat Terawih sepanjang malam bulan tersebut yang menjanjikan pahala yang tinggi. Ramai dari kalangan kita yang mengetahui bahawa berpuasa itu adalah menunaikan semua ibadah Wajib dan menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi ramai yang tidak pula mengetahui akan hakikat ibadah puasa yang sebenar-benar sebagaimana yang dituntut Islam itu sendiri. Mereka menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi tidak menjaga banyak dari aspek Syariat. Bahkan ramai di kalangan umat Islam yang tidak menunaikan ibadah puasa sekalipun.
Pada 10 hari terakhir, yang dipanggil malam 'Lailatul-qadar', umat Islam digalakkan memperbanyak amalan sunat bagi mencapai keredhaan Allah SWT. 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan itu adalah malam yang penuh rahmat dan barakah, di mana salah satu antara malam tersebut, para Malaikat turun ke muka bumi untuk menyampaikan Rahmat Allah SWT kepada seluruh penghuni dunia yang menunaikan ibadah sepanjang Ramadhan.
Sebagai umat Islam yang dilantik Allah SWT sebagai khalifahNya di muka bumi, maka seharusnyalah kita berusaha menunaikan ibadah tersebut dengan sesempurnanya dan tidak sewenang-wenangnya melanggar segala suruhanNya.
Jadi, setelah tahun demi tahun berlalu, kita terus menyambut bulan yang mulia ini dengan cara dan adat tersendiri serta berpaksi Syariat Allah SWT. Jadi sempena bulan Ramadhan yang mulia untuk kali ini, bersama-samalah kita berusaha mempertingkatkan amal kita di sisiNya, semoga akan diterima dan dicurahkan dengan limpah rahmatNya.
SEKIAN : Hasil nukilan, Shahrizal(Sidi Rijjal)
No comments:
Post a Comment