Saturday, June 11, 2011

Kajian Agama Besar Dunia : Shintoisme


Shinto, merupakan agama lama di tanah Jepun yang dianut oleh masyarakat Jepun sejak lama sebelum kedatangan agama Islam syariat Rasulullah SAW. Agama ini digelar juga sebagai Kaminomichi, iaitu "Jalan Tuhan/Dewa/Langit". Dalam bahasa Jepun, Kami membawa makna yang luas iaitu, Tuhan, Dewa, Ruh, dan apa-apa jua unsur-unsur kuasa Ghaib.

Agama ini meluas di Jepun sejak ribuan tahun yang lalu dan merupakan agama rasmi Jepun sehinggalah ke zaman sekarang ini. Walau bagaimanapun, agama ini banyak dicampur aduk dengan fahaman-fahaman dan agama-agama luar seperti Buddha, Hindu dan Confucius. Natijahnya, agama Shinto diamalkan seiring bersama kepercayaan-kepercayaan lain.

Terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Shinto Daerah, dan Shinto Negara. Shinto Daerah adalah anutan umum, yang dianut orang kebanyakan dan para petani serta pekerja buruh, sedangkan, Shinto Negara merupakan sekte utama bagi golongan-golongan Maharaja, pembesar-pembesar negara dan para pahlawan negara. Mereka mempercayai bahawa Maharaja merupakan anak kepada Dewa matahari Ameterasu.

Menurut teologi Shintoisme, Ame-no-mi-naka-nushi adalah nama bagi Sang Maha Pencipta atau diri Hakiki. Darinya diciptakanlah semesta yang nyata iaitu Ken Kai dan alam ghaib - Yu Kai. Mereka diciptakan tiga Dewata Musubi, yang merupakan Prinsip Penciptaan, Penamat dan mereka membantu mentadbir dunia materi dan spiritual ini. Ini menyerupai Nirguna Brahman dalam ideologi Hinduisme.

Kepatuhan hakiki kepada Maharaja merupakan suatu kemestian bagi masyarakat Jepun yang menganut ajaran Shintoisme, memandangkan beliau dianggap wakil Tuhan Maha Kuasa, merupakan kebanggaan keturunan dan merupakan struktur utama dalam Jalan Universal Agung.

Ameterasu Kami merupakan Dewa yang paling agung dalam hirarki dan diikuti Dewa Susano-o-no-Mikoto iaitu Dewa Hujan, Diikuti pula oleh Dewa Tsukiyomi-no-Mikoto yang merupakan Dewa Bulan. Mereka mentadbir dari atas Alam Kayangan, lautan yang luas dan pada malam hari.

Menurut ajaran Shinto, sekiranya seseorang insan melakukan amal baik dan mulia, serta menjauhi segala bentuk kejahatan, maka ini akan menyucikan hatinya. Hati insan yang suci akan sentiasa mendekatkan diri pada Tuhan Yang Kuasa serta melangsungkan hubungan hatinya dengan Tuhan.

SEPULUH PRINSIP AGAMA SHINTO :

  1. Jangan menentang Tuhan dan Dewa-Dewa.
  2. Jangan lupakan tugasmu pada keturunan darahmu.
  3. Jangan mengkhianati negaramu.
  4. Janganlah melupakan kebajikan dan jasa Tuhan, Dewa dan kebaikan cahaya, yang mana segala masalah terlucut kerana cahayaNya, dan menyembuh segala penyakit.
  5. Jangan lah engkau melupai, seluruh insan di dunia anggaplah sebagai keluarga besar.
  6. Jangan melupai dirimu, yang sangat terbatas kemampuannya.
  7. Jangan engkau ammarah, meski engkau melihat orang lain menurut ammarah mereka.
  8. Jangan buat kerja dengan selekeh dan cincai.
  9. Jangan menyalahkan ajaran agama, sedangkan engkau sendiri yang salah.
  10. Dan, janganlah engkau mudah menurut ajaran agama lain, sedang engkau berada dalam petunjuk.
KATA-KATA MUTIARA AJARAN SHINTO :

  1. Sesungguhnya, hati orang lain adalah ibarat cermin hatimu pula. Lihatlah dirimu sendiri dalam diri mereka.
  2. Meskipun harapan dan doa seekor semut, pasti sampai ke Syurga.
  3. Tinggalkan perkara keduniaan dan datanglah padaKu hari-hari dengan tubuh dan jiwa yang suci.
  4. Suatu doa dan ibadat yang ikhlas menggoncangkan Syurga. Kau tentu akan mengenali kehadiran Sang Maha dengan ibadahmu yang ikhlas.
  5. Bila engkau ikhlas, maka di situ ada kebajikan. Keikhlasan adalah saksi kebenaran hakiki. Keikhlasan ibarat ibu pengetahuan. Keikhlasan jualah satu amalan mudah yang mengikat kesatuan Tuhan dan insan.
  6. Kebaikan atau kejahatan adalah ibarat bayang-bayang dirimu.
  7. Untuk kebaikan adalah menjadikan dirimu suci. Membuat kejahatan menjadikan dirimu kotor dan tercela.
  8. Mengakui bahawa dirimu itu bersalah merupakan tangga awal kebajikan.
  9. Pertama-tama memasuki gerbang Tuhan adalah ikhlas dan sekiranya engkau menyampai doa dan hajat pada dewa dengan ikhlas, pasti hubunganmu dengan Sang Pencipta akan ada dan hadir.

DOA SHINTO PALING UTAMA :

"Sesungguhnya, mata kami sentiasa menyaksikan kekotoran dan kejahatan, namun, janganlah biarkan minda kami pula menyaksikan kekotoran dan kejahatan. Telinga kami, mendengarkan kekotoran dan kejahatan, namun janganlah biarkan minda kami pula mendengarkan bisikan-bisikan dari kekotoran dan kejahatan."





No comments:

Post a Comment