Sunday, June 26, 2011

MERUNGKAI PERSOALAN BUDDHA SEORANG NABI? (bahagian 1)

MERUNGKAI PERSOALAN: BUDDHA SEORANG NABI?

Siapa Buddha? Benarkah Buddha seorang Pagan? Sebilangan umat Islam menjawab bahawa Buddha bukanlah seorang Pagan (penyembah semangat dan berhala) bahkan baginda adalah seorang nabi. Tetapi mengapa hari ini rata-rata kuil Buddha memperlihatkan amalan pagan penyembahan patung yang bertentangan dengan konsep Tauhid Islami?


Untuk mendapatkan jawapan jelas berkenaan Buddha dari perspektif Islam ialah dengan merujuk buku tulisan seorang ulama' tersohor dari kepulauan Carebbean (Trinidad & Tobago) iaitu Syeikh Imran Nazar Hosein, "
Islam and Buddhism in the Modern World". Satu-satunya buku kontemporari karangan ulama' Islam yang mendasari konsep "pembersihan jiwa" Buddha dan membandingkannya dengan Islam. Menurut Syeikh Imran, Buddha selama hayatnya setelah mendapat "pencerahan" tidak pernah mengambil inisiatif menulis segala ajarannya.

  • Gautama Buddha mencapai 'pencerahan' pada usia sekitar tiga puluh lima tahun. Pada permulaan sehingga beliau meninggal dunia, empat puluh lima tahun kemudian, beliau mengabdikan seluruh hidupnya untuk menyebarkan doktrin agamanya. Namun, dia tidak pernah menaruh perhatian apapun untuk tugas yang begitu penting iaitu merakam ajarannya dalam bentuk bertulis secara tetap (i.e. sebagai sebuah buku / kitab). [06]
Pencerahan yang dimaksudkan di atas ialah "mendapat rahsia-rahsia ghaib berupa falsafah-falsafah hidup dan mendapat suruhan untuk menyebarkan ajarannya". Kebenaran ajaran Buddha begitu sukar untuk dipastikan kerana tidak terdapat walau satu pun ajaran beliau yang dapat ditulis ketika hayatnya menyebabkan riwayat dan ajaran Buddha hanya diketahui berpandukan tulisan-tulisan para Bikksu (Sami) setelah kewafatannya. Syeikh Imran dengan nada mencabar para penganut Buddha untuk mencari di mana ajaran asal Buddha ketika hayatnya mengatakan,

  • Gautama Buddha adalah pengasas agama Buddha. Ajaran-ajaranya adalah berwibawa dan mengikat semua umat Buddha. Penganut Buddha adalah wajib untuk mencuba dan mencari dengan mengetahui apa sebenarnya ajaran asli Buddha. Jika ia gagal dalam tugas ini, namun tetap juga menyebut dirinya sebagai penganut agama Buddha yang asli, ia harus cukup jujur ​​untuk mengakui bahawa apa yang ia percaya adalah mungkin bukan ajaran asli Buddha, - bahkan, mereka sebenarnya mungkin cukup berbeza dari apa yang Buddha ajarkan!
Maka, dari sini dapat ditanggapi bahawa ajaran Buddha yang kita lihat hari ini di kuil-kuil dengan segala patungnya berkemungkinan bukanlah dari ajaran Buddha yang sebenar. Hal ini sama dengan apa yang berlaku kepada ajaran Nabi Isa a.s. yang sejarah hidup dan ajarannya hanya dapat ditulis setelah beberapa puluh tahun kewafatannya. Yang kemudian didapati, muncul pula ajaran Kristian (Tuhan 3 dalam 1) yang mendakwa sebagai "pembawa ajaran Isa @ Jesus" yang sebenar. Tetapi setelah diselidik, ajaran ini baru bermula pada zaman Rom dimana St. Paulus[07] memasukkan fahaman pagan Hellenistik (tuhan anak dan tuhan bapa) ke dalam ajaran Nabi Isa a.s. yang asal.

Syeikh Imran menyambung bahawa kritikan sejarah telah terbukti dengan cukup meyakinkan bahawa ajaran-ajaran asli Buddha tidak pernah dapat diketahui. Berkenaan hal ini Dr. Edward Conze dalam bukunya 'Buddhism, Its Essence and Development' telah mengatakan bahawa yang sebenarnya helaian tertua dari manuskrip yang ada hanya boleh dicapai dengan kesimpulan yang tidak menentu dan sekadar menduga. Hinggakan Dr. Conze mengaku berterus-terang bahawa dia tidak tahu apa sebenarnya kitab asal ajaran Buddha.

Nampaknya ajaran Gautama Buddha, menjadi seperti Injil Isa a.s., yang hanya terawet dalam kenangan murid-muridnya. Kerana tidak lama selepas kematian Buddha, sebuah Majlis Dewan diadakan di
Rajagaha untuk sepakat menentukan perkataan-Buddha yang mungkin diucapkan semasa hayatnya. Tapi dalam dewan tersebut terdapat perbezaan pendapat atau lebih tepatnya, kenangan (periwayatan) yang saling bertentangan antara Bikksu. Pada akhirnya majlis bersetuju memilih pandangan Kayshapa dan Ananda kerana mereka berdualah yang paling menonjol sebagai murid ketika Buddha masih hidup.

Maka catatan-catatan tentang riwayat Buddha yang muncul kemudian seperti yang ada pada hari ini adalah berdasarkan interpretasi
Kayshapa dan Ananda semata-mata. Syeikh Imran dalam menjelaskan ajaran Buddha tidak menekankan bahawa Buddha adalah seorang Nabi secara jelas. Apa yang beliau tekankan ialah kelebihan pembersihan jiwa yang dilagang oleh Buddha telah membina jalan penyelesaian kepada kebejatan ajaran Hindu ketika itu yang dianggap oleh Buddha sebagai "tidak berguna". Buddha tampak kecewa dengan keadaan masyarakat terutama golongan kasta atasan yang kehilangan moral menindas golongan kasta rendah disamping para Brahmin Hindu yang menganggap hanya mereka sahaja yang paling mulia.

Kemunculan Buddha yang pada asalnya seorang anak Raja yang tinggal di istana telah lari meninggalkan kebesaran istana dan hiburan nafsu menjadi biksu demi mencari ketenangan jiwa dan mendapatkan Nirvana (Nibbana).
Dari sudut lain Syeikh Imran menjelaskan hebatnya ajaran Buddha iaitu betapa pun hebat tujahan kristianisasi hari ini namun para penganut Buddha majoritinya masih bertahan dan juga betapa pun hebatnya ajaran Buddha itu, ia masih tidak dapat menandingi Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW. "Kata-kata" Tuhan yang Muhammad SAW terima telah diabadikan dalam Al-Qur'an yang berjaya dicatat ketika hayat Baginda SAW, tidak seperti Buddha yang ajarannya hanya ditulis kemudian oleh para Biksu setelah lebih 300 tahun selepas kewafatannya.

Hal ini sudah tentu tidak lari dari penyelewengan dan tokok tambah sebagaimana yang berlaku kepada Taurat dan Injil hari ini. Buddha sendiri mengajar para Biksu untuk bersederhana namun konsep kesederhanaan itu tidak jelas berbanding kesederhanaan yang diamal dan diajar oleh Muhammad SAW.
Apa yang menarik bagi Syeikh Imran ialah setelah kedatangan ajaran Muhammad SAW, umat Buddha tidak keberatan menerima Islam sehingga boleh dikatakan dakwah para da'i ini tidak melibatkan pertumpahan darah. Sebagai contoh ialah bagaimana Islam dapat masuk ke alam Nusantara hingga sampai ke kepulauan Sulu pun tidak melibatkan pertumpahan darah. Tidak seperti yang dilakukan para kolonialis Eropah yang tidak sunyi dari pembunuhan beramai-ramai demi mengkristiankan kaum-kaum pribumi.


RINGKASAN RIWAYAT BUDDHA


Pada akhir abad ketujuh S.M. (tahun 623 S.M.), lahirlah seorang yang bernama
Siddhartha Gautama di bandar Kapilavastu/Kapilavathu (Kapil, lidah Arab menyebut Kafil @ Kafli). Siddhartha Gautama merupakan putera kepada Raja Suddhodana dan Permaisuri Maha Maya. Raja Suddhodana dari keturunan suku kaum Sakyas, dari keluarga kesastrian dan memerintah Sakyas berdekatan negeri Nepal. Manakala Permaisuri Maha Maya pula adalah puteri kepada Raja Anjana yang memerintah kaum Koliya di bandar Devadaha.[08]

  • Sebelum kelahiran Buddha: Permaisuri bermimpi dibawa oleh 4 orang dewa ke sebuahgunung yang tinggi. Kemudian, permaisuri melihat seekor gajah putih yang cantik. Pada belalai gajah itu terdapat sekuntum bunga teratai. Gajah mengelilinginya 3 kali sebelum masuk ke dalam perut permaisuri.
Apakah maksud sebenar istilah BUDDHA? Dalam agama Buddha, perkataan Buddha bermaksud 'seorang yang bijaksana' atau 'dia yang mendapat petunjuk'. Kadang kala istilah ini digunakan dengan maksud 'nabi'. Gautama Buddha pernah menceritakan kedatangan seorang Antim Buddha. Perkataan Antim bermaksud 'yang terakhir' dan Antim Buddha bermaksud 'nabi yang terakhir' (Antim terakhir yang dimaksudkan ialah Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir). Pada saat kematian Gautama Buddha, beliau memberitahu perkara ini kepada pengikut setianya bernama Ananda.

Cuba lihat pada tajuk sebelumnya dan bandingkan makna Buddha
(mendapat petunjuk @ nabi)dengan makna "Nabi" dalam bahasa Arab (berasal dari kata naba yang bererti "dari tempat yang tinggi"; kerana itu orang 'yang di tempat tinggi' dapat melihat tempat yang jauh). Nabi dalam bahasa Arab sinonim dengan kata Buddha sebagaimana yang difahami oleh para penganut Buddha. Sinonimnya pengertian ini dapat diringkaskan sebagai "Seorang yang diberi petunjuk oleh Tuhan sehingga mendapat kebijaksanaan yang tinggi menggunung". Riwayat ringkas hidup Buddha bersambung,

  • Kelahiran Bodhisatta (Bodhisattva, bakal Buddha atau bakal mencapai Pencerahan) pada tanggal 623 S.M. pada bulan purnama Vesak.
  • Selepas sahaja Bodhisatta dilahirkan, Permaisuri Maha Maya mangkat selepas tujuh hari melahirkan anak.
  • Pada hari kelahiran Bodhisatta telah disedari secara ghaib oleh seorang tua yang sedang bertapa di kaki gunung Himalaya yang digelar Asita Bijaksana (nama asalnya Kala Devala).
  • Asita bergegas ke istana pada keesokannya untuk melihat dan menilik putera Raja Suddhodana.
  • Asita mendapati terdapat 32 tanda utama dan 80 tanda kecil menunjukkan Bodhisatta bakal menjadi Manusia Agung dan Guru Agung kepada manusia dan dewa-dewa (i.e. Jin dan Malaikat, kelemahan umat Hindu dan Buddha ialah tidak dapat bezakan antara Jin dan Malaikat yang keduanya dipanggil DEWA-DEWA).
  • Asita menangis kerana sedih tidak sempat mendengar ucapan dan pengajaran Buddha di masa akan datang, beliau kemudian berlutut tunduk hormat kepada bayi Bodhisatta.
  • Kenyataan terakhir Asita ialah Bodhisatta hanya akan menjadi salah satu dari dua iaitu sekiranya ia kekal membesar dalam istana dia akan menjadi Maharaja Agung manakala kalau dia berjaya lari dari istana maka dia akan menjadi Mahaguru Agung.
  • Upacara menamakan putera raja diadakan pada hari kelima selepas Boddhisatta dilahirkan. Pada akhir majlis itu, 108 orang bijaksana memutuskan nama yang sesuai untuk putera raja iaitu SIDDHARTHA GAUTAMA yang membawa maksud ‘Cita-Cita Terkabul’.
Siddhartha kemudian membesar di istana dan belajar kepada seorang guru istana bernama Sirva Mitra. Beliau menjadi pelajar yang luar biasa pintar dan mahir dengan ilmu ketenteraan. Yang menjadi kehairanan kepada orang disekeliling dan gurunya ialah sifat Siddharta yang sensitif terhadap penganiayaan hinggakan tidak ada seorang pun yang beliau lihat menganiaya binatang kecuali mencegahnya serta merta. Malah beliau sangat bersedih melihat para petani berkerja keras membajak tanah dibawah terik matahari menyebabkannya lari ketempat lain ke sebuah pokok dan duduk di sana secara bertafakur (samadhi) untuk membuang stress.

  • Setelah Siddhartha cukup usia untuk berkahwin maka beliau pun dikahwinkanlah dengan seorang puteri raja bernama Puteri Yasodhara sehingga mendapat seorang anak hasil perkahwinan mereka.
  • Sehingga waktunya sampai, Siddhartha menjadi bosan ditambah dengan semangat ingin tahunya terhadap dunia di luar istana. Beliau sentiasa diawasi dan dijaga rapi oleh pelayan-pelayan muda dan cantik. Beliau juga dihiburi oleh penyanyi, penari dan pemain muzik yang handal dan cantik kerana ayahandanya berusaha memastikan tidak ada orang tua, orang sakit, orang mati dan sami berada di kawasan istana kerana takut Siddhartha mendapat inspirasi keluar dari istana.
  • Pada akhirnya Siddhartha berjaya keluar dari istana beberapa kali dan berjaya melihat orang tua, orang sakit, orang mati dan biksu (sami) menjadikan beliau bertambah berduka dan kasihan yang teramat sangat. Hal ini menjadi pertanyaan pada dirinya sendiri betapa pun dia seorang anak raja namun dia pasti akan menjadi tua, sakit dan seterusnya mati.
  • Dengan keadaan haru biru memikirkan tentang kehidupan makhluk beliau mengambil keputusan untuk mencari jalan penyelesaiannya iaitu bagaimana boleh mengelakkan dirinya dan manusia lain dari menjadi tua, sakit dan mati. Titik perubahan yang berlaku pada dirinya setelah beliau terlihat seorang biksu (sami) yang begitu tenang, senang dan bahagia walau pun dalam keadaan miskin dan merempat.
Titik perubahan (turning point) ini berkembang menjadi permulaan kepada "pencariannya" mendapatkan jawapan yang dipanggil "pencerahan". Kerana sungguhpun Siddhartha hidup dalam kemewahan, jauh di sudut hati kecilnya dia senantiasa memikirkan hukum alam dan masalah manusia, hidup manusia, penderitaan manusia, kejahilan manusia yang menyebabkan penderitaan dan memikirkan bagaimana hukum alam dapat diatasi.

  • Siddhartha memikirkan alangkah baiknya seandainya dia boleh mencapai Pencerahandan dapat menyatukan makhluk dengan demikian dapat menunjukkan jalan kepada mereka menuju ke arah kesempurnaan dan kemuliaan hidup. Manusia mesti dikeluarkan daripada kejahilan, memandu mereka ke arah kebebasan, kebahagiaan dan mencapai kebijaksanaan.
Sehingga beliau pada suatu malam bermimpi bertemu dengan Dewa Hrideva (Sanskrit:हरिदेव) dengan mengatakan kepadanya,

  • "Sudah sampai masanya tuan... memaklumkan kepada dunia akan kewujudan tuan. Orang yang tidak bebas tidak akan dapat membebaskan orang lain sebagaimana orang buta yang tidak dapat menunjukkan jalan kepada orang lain. Sesiapa saja yang mempunyai mata dapat menunjukkan jalan kepada yang tidak tahu. Sesiapa yang ingin membebaskan orang lain mestilah meninggalkan ikatan keduniaan seperti meninggalkan rumah, keluarga, anak-isteri, harta kekayaan dan hawa nafsu dan mengikuti hidup seperti orang alim yakni sebagai seorang sami yang sentiasa berpindah-randah."
  • Setelah itu beliau pun mengambil keputusan menjadi biksu (sami) maka untuk tujuan itu beliau mesti keluar dari istana dan memulakan "perjalanan" mendapatkan pencerahan (Nirvana).
Dalam perjalanan untuk mendapatkan PENCERAHAN, bermacam ujian beliau telah lalui. Beliau menuntut ilmu kepada beberapa mahaguru yang handal-handal namun masih tidak memuaskan hatinya. Ada guru lain yang menyarankannya berpuasa secara keras untuk mencapai apa yang dihajati tetapi setelah melakukan puasa berbulan-bulan sehingga hampir-hampir meragut nyawanya beliau pun berhenti puasa. Beliau berpandangan latihan jiwa untuk menuju kepada pencerahan mesti dilakukan secara bersederhana (jalan tengah) maka sejak itu beliau mula bersederhana dan mengambil keputusan melakukan sendiri pencarian untuk mencapai PENCERAHAN yang sempurna tanpa bimbingan guru.[09]

Sejarahnya cukup sampai di sini kerana Buddha mendapat pencerahan kemudiannya sehingga berjaya sampai ke tahap apa yang Buddha katakan sebagai Nirvana. Setelah itu barulah beliau menyebarkan ajarannya mengajak manusia mengamalkan ajarannya untuk mencapai kebahagiaan hakiki iaitu mencapai Nirvana.
Persoalannya apakah Nirvana itu?

BERSAMBUNG.........


SM : Saya amat berterima kasih kepada pemilik BLOG yg menghasilkan tajuk yang menarik untuk bahan kongsian kita umat Islam mengenai syariat-syariat Allah lama.

1 comment:

  1. *sebagaimana asal usul penjilidan al-quran dan hadis adalah daripada para hafiz, kitab agama Buddha masih wujud pada hari ini, ia TIDAK KABUR sebagaimana didakwa tuan, dan benar, ia daripada hafalan Yang Mulia Ananda,yang disaksikan para bhikkhu Arahatta (yang telah mencapai pencerahan), dan hafalan YM Ananda tidak disanggah. Pokok ajaran Buddha berkisar tentang Dukkha dan jalan keluarnya, dan semua mazhab yg ada pada hari ni tidak pernah berbeza pendapat tentang hal ini.Mohon tuan membuat bacaan lanjut tentang ajaran Buddha. Kuil2 Buddha yang wujud adalah perkembangan seni keagamaan Buddha, sebagaimana Islam di India mewujudkan dargah2 makam keramat Sheikh2 atas nama Islam. Bezakan amalan sebenar dengan penambahan elemen2 kebudayaan tempatan. Yang pasti, intipati agama itu suci, yang mencemar itu elemen2 kebudayaan. Sekian.

    ReplyDelete